Jumat, 09 Mei 2008

manual cinta haraki

Tidak mudah untuk menulis tentang cinta dan rumahtangga orang agama. Bukan semestinya orang agama itu ustaz atau ustazah. Tetapi sesiapa sahaja yang menganggap perkahwinan mereka bakal dan sedang terbina di atas dasar “fadzfar bi dzaatid-deen, taribat yadaak“.
Buku AKU TERIMA NIKAHNYA, yang saya tulis dengan maksud mahu menghuraikan hal rumahtangga menurut Islam dalam bahasa cerita, praktikal, normal dan tiada yang luar biasa, mungkin agak susah hendak mencapai maksudnya. Maklum sahaja, tajuk buku itu sudah menimbulkan pelbagai reaksi dan sangka, tambahan pula dengan chain of love yang menghias muka depannya.
“Ustaz Hasrizal ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!”, simpul seorang pemerhati jarak jauh.
Jika ditanya mengapa saya memfokuskan penulisan banyak kepada isu kekeluargaan, keibubapaan dan hal-hal yang diistilahkan sebagai domestic affair ini, jujurnya saya pun tidak tahu mengapa. Tulisan saya ialah jelmaan daripada apa yang banyak menghantui fikiran saya kerana saya menulis sebagai reaksi kepada perkara-perkara yang datang kepada kehidupan saya.
Nyatanya, hal-hal berkaitan dengan rumahtanggalah yang paling banyak menimbulkan persoalan dan kerungsingan di fikiran saya. Ia berkait dengan apa yang saya fikirkan tentang rumahtangga sendiri, juga akibat permintaan-permintaan mereka yang datang kepada saya meminta pandangan dalam hal berkaitan rumahtangga.
TERLEBIH DEDAH
Dari satu sudut, hal ini telah menyusahkan hidup diri saya. Pendedahan yang terlalu banyak kepada masalah-masalah rumahtangga orang lain, telah menyebabkan fikiran dan cara saya melayari rumahtangga juga terkesan.
jas-wed.jpg
Antara majlis pernikahan yang pernah saya kendalikan di Belfast
Semenjak bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast pada usia 26 tahun, saya sudah memikul tanggungjawab menjadi qadhi untuk menikahkan pasangan yang mahu berkahwin di kawasan Ireland Utara. Selain itu, saya juga terpaksa turun ke medan, menyelesaikan hal-hal rumahtangga pasangan yang berkonflik, sedangkan saya baru sahaja beberapa bulan berumahtangga, manakala mereka itu sudah beranak teruna dan dara.
Ada mangsa dera, ada yang dikahwini suami hanya kerana suami mahu mendapatkan kerakyatan Britain, ada yang menjadikan kahwin dan cerai sebagai hobi dan ada yang mengahwini seorang lelaki Kristian lalu meminta saya datang ke gereja untuk ‘memberkati’ perkahwinan itu!
Semua itu membingungkan.
Campur tangan saya dalam hal rumahtangga orang lain menjadi lebih kritikal apabila pulang ke Malaysia. Seolah-olah saya ini ‘doktor cinta’, banyak sekali aduan dibuat oleh sang isteri, malah suami, terhadap masalah rumahtangga mereka. Segala-galanya menjadi timbunan keresahan diri saya, dan ia memuncak apabila saya menyaksikan kemusnahan rumahtangga pendukung gerakan Islam, rumahtangga ustaz dan ustazah, serta rumahtangga doktor di sekitar catatan harian dari semasa ke semasa dalam hidup saya!
Demi menyusun fikiran sendiri terhadap peranan, cabaran, tanggungjawab dan segala aspek diri saya di dalam rumahtangga, saya mula sedikit demi sedikit menulis tentang cinta dan rumahtangga. Akhirnya terhasillah sebuah buku bertajuk AKU TERIMA NIKAHNYA.
Buku itu adalah usaha kecil saya untuk mencegah mereka yang mahu bercinta secara Islam daripada memperolok-olokkan agama dengan penafsiran karut marut yang ada di dalam kefahaman kebanyakan kita. Agama ‘mengkartunkan’ manusia.
BATAS PERGAULAN
Misalnya di dalam perihal menjaga batas pergaulan lelaki dan perempuan sebelum berkahwin, saya tidak betah melihat ia dilaksanakan dalam bentuk yang menjadikan agama sebagai bahan senda.
Melihat lelaki dan perempuan berjalan tunduk hingga melanggar tiang koridor, menyaksikan sepasang ahli dakwah ber’sms’ pada jam 4 pagi dengan alasan mengajak Qiamullail (konon), hinggalah kepada terjebaknya anak muda yang hafiz dan hafizah di dalam kancah zina… semuanya menggerunkan, dan ia banyak berlaku apabila agama cuba diamalkan dalam bentuk yang tidak kena dengan kemanusiaan manusia.
Oleh yang demikian, buku AKU TERIMA NIKAHNYA adalah buku panduan bercinta menurut Islam bagi mereka yang membacanya dengan tanggapan umum, manakala ia adalah manual Bait Muslim bagi mereka yang biasa dengan tarbiyah, gerakan Islam dan dakwah.
Tetapi buku tersebut belum cukup tajam dalam menanggapi realiti sebenar yang ada.
Ya, memang perbincangan saya bersama penerbit telah membawa kepada persetujuan untuk mengawal ketebalan buku tersebut agar harganya berada dalam lingkungan kemampuan pembeli yang disasarkan.
Namun, realiti dunia rumahtangga masih luas dan penuh liku. Kerana itu saya membayangkan yang saya perlu menulis sebuah lagi buku. Dan disebabkan oleh sasarannya ialah pada membedah masalah rumahtangga pendakwah, maka saya perlu menamakan buku itu dengan sesuatu yang macho seperti “MANUAL CINTA HARAKI”. Tentu sahaja buku ini harus nampak garang, duduk dalam genre jihad fisabilillah, supaya pembaca sasaran saya tidak tersipu-sipu membelinya sebagaimana respond mereka kepada buku AKU TERIMA NIKAHNYA ini. Supaya lelaki yang tebal egonya tidak rasa ‘terhina’ menjamah buku berkaitan cinta!
MANUAL CINTA HARAKI lebih susah untuk ditulis kerana ia cuba mencari jawapan kepada punca krisis yang berlaku di dalam rumahtangga yang sudah pun dibina di atas dasar agama. Jika sudah berumahtangga mengikut lunas-lunas Islam, apa lagi yang tidak kena hingga pelbagai insiden ngeri berlaku?
Saya sedang berusaha mencantumkan satu demi satu kes ini sebagai kepingan puzzle yang membingungkan, dengan harapan akan terserlah gambaran besarnya. Ia mungkin akan menjadi satu tanda soal gergasi kepada gerakan Islam seperti PAS, JIM, ABIM atau TABLIGH… apa yang tidak kena dengan manual tarbiyah masing-masing hingga segala kes-kes pelik ini muncul selepas perkahwinan sefikrah, seperjuangan dan sejemaah itu mencecah usia 10 tahun?
Di manakah silapnya?
Apa lagi yang tidak kena?
Ia mungkin menjadi suatu tamparan kepada cara gerakan Islam mengendalikan aspek berumahtangga ahlinya. Ia harus menyemak kembali sama ada mahu berperanan memberikan fasilitasi dan galakan, atau mahu berperanan mengatur malah ‘cuba mendesak secara halus’? Jika selama ini kaedah yang diguna pakai dilaksanakan tanpa memikirkan keberkesanan malah kesan jangka panjangnya, maka sudah tiba masanya untuk hal ini dihalusi semula.
Saya tidak mahu persoalan ini dijawab secara sambil lewa, beretorik, atau dengan kelakuan denial yang tidak bertempat kerana harganya terlalu mahal. Sudahlah berpolitik mahu beretorik, dalam rumahtangga pun sama juga? Sedangkan ia adalah kehancuran sebuah Bait Muslim yang merupakan step kedua selepas individu Muslim, sebelum menuju masyarakat Islam, negara Islam, dan dunia Islam yang diimpikan semua.
AMBIL MUDAH
Kadang-kadang saya pun naik angin. Apabila isu rumahtangga amilin dan amilat ini mahu diperkatakan, cepat benar melompatnya kepada isu-isu yang sudah menjadi klise seperti isu POLIGAMI.
Baru sahaja saya memberi muqaddimah tentang latar belakang kes yang sedang mahu diperkatakan, muncul pula permintaan supaya saya memperkatakan tentang poligami, malah cuba pula bertanyakan isteri saya, “tidak inginkah payung emas yang dijanjikan itu?” Materialistik benar tanggapan sedemikian!
Ini adalah sikap buruk, apabila kita secara mudah menganggap poligami sebagai penyelesaian yang Islamik kepada semua masalah rumahtangga Bait Muslim.
Pada kefahaman saya, kedua-dua poligami dan talak, adalah peruntukan yang disediakan oleh Allah untuk manusia menjalankan tanggungjawab mereka menegakkan keadilan, serta mencegah kezaliman. Poligami adalah simpang ke sana, manakala penceraian pula adalah simpang ke sebelah sini, tetapi kedua-duanya bermaksud yang sama… menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman.
Tetapi, apabila option berpoligami ada di kepala seorang lelaki, ia boleh menyebabkan dirinya tidak serius berusaha menyelesaikan masalah rumahtangga yang sedang dihadapi. Sebab apa? Sebab adalah pilihan lain. Jika yang satu ini tidak kena, mengapa harus bersusah payah memeningkan kepala. Cari sahaja yang kedua.
Sebab itulah kajian menunjukkan, kebanyakan lelaki yang berpoligami ini akan mencari isteri keduanya yang sangat kontras dengan isteri pertama. Jika isteri pertama itu seorang yang pendiam, lemah lembut, jenis suka berkurung di rumah, maka lazimnya isteri kedua itu akan outspoken, agresif dan petah berkata-kata, tegas berani dan aktif dengan aktiviti luar. Ini adalah hasil kajian yang saya baca daripada sebuah buku yang sangat baik dalam memperkatakan tentang hal ini iaitu Psikologi Asuhan Keluarga (3 jilid) oleh Abdullah Hassan dan Ainon Mohd, sifoo PTS Publication.
psikologi-asuhan.GIF
Malah bab terakhir di dalam buku ini ialah MENGHALANG POLIGAMI.
Apabila perempuan berkerjaya dan mampu menampung keperluan hidupnya sendiri, dia juga tanpa sedar berfikir dengan cara yang sama dengan suami. Mahu segera membuang suami, menggantikan dengan yang lain atau kembali bebas! Mereka segera mencari pasangan alternatif, sedangkan usaha sepatutnya dilakukan secara optimum untuk menyelesaikan masalah dengan pasangan sedia ada. Jangan pula poligami atau menduakan suami menambah serta menggandakan masalah.
Mana tahu, suami menyalahkan isteri sebagai punca masalah, sedangkan dia itu yang menjadi pemula segala-galanya. Suami marah isteri gagal melahirkan anak lelaki, sedangkan punca isteri melahirkan anak perempuan ialah ‘peranan’ suami dalam pengagihan kromosom X dan Y mereka! Lantas tanpa berusaha bersungguh-sungguh, mudah sahaja berpindah kepada pilihan poligami. Lalu dia membawa masalah kepada rumahtangga barunya, kerana bukan isteri pertamanya yang bermasalah, bahkan dirinya sendiri.
Dalam keharusan poligami dan talaq, ini adalah sebahagian daripada sisi negatif yang boleh berlaku jika ia dipraktikkan dengan garis panduan yang salah. Tidak bersunggung-sungguh menyelesaikan masalah sebelum poligami atau talaq dipilih.
Kerana itu, saya bermohon kepada Allah untuk mengukuhkan upaya diri dalam merangka perbicaraan berkenaan MANUAL CINTA HARAKI kerana sukar sekali Dunia, Negara dan Masyarakat Islam mahu dibentuk di atas runtuhan Bait Muslim akibat cinta haraki yang tidak bermanual.
56000 Kuala Lumpur
ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih

Tidak ada komentar: